Pengacara dan wartawan penyiaran
terkenal TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, membuat keputusan
drastik untuk meletakkan jawatan sebagai kakitangan sepenuh masa di
stesen televisyen berkenaan mulai hari ini.
Menurut Nurul Syuhada, keputusan yang
dibuatnya itu sudah lama dipertimbangkan dan langsung tidak ada
kena-mengena dengan isu kontroversi yang membabitkan dirinya.
“Saya pasti ramai yang akan memberi
persepsi peletakan jawatan saya ini berkaitan dengan kontroversi
baru-baru ini, tetapi saya ingin tegaskan ia memang tidak berkaitan
langsung dengan apa yang telah berlaku.
“Lagipun saya sudah menghantar surat
peletakan jawatan kepada pihak pengurusan sebulan yang lalu dan esok
(hari ini) merupakan hari terakhir saya sebagai kakitangan sepenuh masa
dengan TV3,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri
Media Prima di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini semalam.
Beliau
memulakan tugas bersama TV3 sebagai pengacara rancangan Nona pada 1
Januari 2006 setelah muncul sebagai juara program realiti televisyen,
Malaysian Top Host pada tahun sebelumnya.
Nurul Syuhada merupakan lulusan Ijazah
Sarjana Muda Sains Marin dari Kolej Universiti Sains dan Teknologi
Malaysia (Kustem) di Terengganu. Kustem kini dikenali sebagai Universiti
Malaysia Terengganu.
Pada bulan Julai tahun lalu, pengacara
kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu mendirikan rumah tangga dengan
Raja Amir Shah Raja Azwa, 30, seorang pegawai bank setelah menjalinkan
hubungan cinta selama dua tahun.
Menurut Nurul Syuhada, dia mengambil keputusan meletak jawatan kerana mahu memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Beliau juga bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana sama ada dalam bidang psikologi atau tamadun Islam.
Jelasnya, setelah enam tahun
berkecimpung dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan, beliau merasakan
sudah tiba masanya untuk berehat serta mengikut kehendak suaminya supaya
tidak terlalu aktif dengan kerjaya.
“Saya memang sudah meletakkan jawatan
sebagai kakitangan sepenuh masa TV3 tetapi selepas ini saya hanya akan
terlibat sebagai pengacara rancangan Malaysia Hari Ini,” jelasnya.
Katanya, keputusan tersebut juga sedikit
sebanyak dipengaruhi oleh hasrat suaminya untuk menimang cahaya mata
setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga.
Sebelum ini, Nurul Syuhada dan TV3
memohon maaf berhubung ulasan semasa siaran lintas langsung Perarakan
Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lalu berkenaan pemilihan lokasi
sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak. Dalam komennya, Nurul
Syuhada menyifatkan Bintulu sebagai bandar daif.
Ekoran kontroversi itu, TV3 membuat
permohonan maaf dalam satu kenyataan media sementara Nurul Syuhada pula
turut berbuat demikian dalam laman sosial Facebook beliau setelah
menerima kritikan serta gesaan daripada pelbagai pihak.
No comments:
Post a Comment