Husband and Wife???ahaa berbaloikah bercinta jarak jauh nih sebenarnya??haa mai kita share ya...hee=)
Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.
Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.
Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.
Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?
Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?
Rezeki dan Ekonomi
Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).
Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan bekeluarga.
Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?
Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.
Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.
Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.
Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.
Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang 'high maintenance'.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..
Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar "anak itu rezeki..".
Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.
Mak ayah kita orang susah...?
Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?
Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.
Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.
Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.
Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.
Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?
Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.
Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri... hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.
Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.
"If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy "
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki...apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?
Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..
Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah... semua ini dibolehkan namun bersederhanalah.
Duduk jauh vs duduk sekali
Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka... awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa 'sweet' dan indah.
Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.
Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan 'geng' mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..
"Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh..."
Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.
Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.
Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.
Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas... mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.
Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.
Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar...
Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa 'sesak dada' menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..
Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping... salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.
Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.
Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..
Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa 'kecederaan hati' melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. Di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih 'tercedera' lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.
Isteri Sebagai Pencorak Rumahtangga
Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.
Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]
Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.
Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.
Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..
"Bosannya duduk rumah..."
Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..
Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..
Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.
Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.
Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..
Kuatkan hati, bangun semula..
Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.
Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?
Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.
Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.
Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.
Sekian perkongsian, moga bermanfaat~